Monday, September 20, 2010

Penyalahgunaan Teknologi Komunikasi Di Malaysia

Sejauhmanakah keberkesanan sistem perundangan di Malaysia untuk menangani isu penyalahgunaan teknologi komunikasi ini?

        Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (samaada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara penduduk mereka.
        Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan peranan yang penting dalam media untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen.
        Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Teknologi Internet memungkinkan seseorang menyalahgunakan maklumat dan berbagai jenis perkhidmatan yang disediakan. Salah satu penyalahgunaan teknologi Internet masakini ialah jenayah siber.
        Di Malaysia contohnya, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat- maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai. Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, makalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia, infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat.
        Disebabkan penguatkuasaan undang-undang ini, media massa tidak mampu berfungsi sebagai penyalur maklumat yang tepat kepada masyarakat. Hal ini kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tidak telus. Setiap artikel yang akan diterbitkan harus menjalani beberapa tapisan supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak akan menimbulkan perkara-perkara yang negatif tentang kerajaan. Situasi ini menunjukkan bahawa wartawan masih terikat dengan undang-undang dan dikawal daripada memberi maklumat yang sebenar kepada masyarakat. Jika terdapat wartawan yang melanggar batasan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).
        Internet dilihat sebagai media alternatif terbaik untuk medium demokrasi yang lebih terbuka. Kerajaan telah menetapkan bahawa tiada penapisan internet yang diperkenalkan dalam Rang Jaminan. Namun begitu, undang-undang tetap dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang dilihat mampu mengancam Negara menerusii penggunaan internet menuurut interpretasi pihak kerajaan. Lihat saja, apa yang terjadi kepada blog "Malaysia Today" yang ditutup oleh kerajaan dan kepada pemliknya sendiri iaitu Raja Petra.
Cuma penguatkuasaan undang-undang ke atas internet tidak berapa berkesan kerana sifat internet itu sendiri iaitu bersifat virtual, ketanpanamaan, terbuka dan luas serta susah untuk mengesan individu yang menggunakan internet. Faktor-faktor inilah yang menjadikan internet sebagai ruang demokrasi yang lebih baik di kalangan rakyat berbanding media massa.
       Malaysia telah telah meletakkan pada asas yang kukuh pembangunan ICT dengan menyediakan undang-undang. Sebagai permulaan sebanyak lima undang-undang telah digubal dan diluluskan, seperti berikut:
(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini merupakan sendi kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT bagi negara ini. Dalam akta ini disenaraikan 10 objektif dasar nasional bagi industry komunikasi dan multimedia (Sila rujuk Akta untuk perinciannya, atau buku Mengenali Undang-undang Media dan Siber).
(2) Akta ini juga meletakkan janji Kerajaan mengenai tiada tapisan dalam Internet di bawah Seksyen 3(3)
Berikutan dengan kelulusan Akta ini, sebuah kementerian khas diwujudkan yang memasukkan elemen komunikasi dan multimedia di dalamnya. Kementerian ini pada mulanya dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. (Kini komponen komunikasi di keluarkan dan digabungkan dengan Kementerian Penerangan, bersama dengan komponen Kebudayaan).
(3) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Akta ini membolehkan ditubuh sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambilalih kuasa pelesenan terhadap spectrum penyiaran dan telekomunikasi. Urusan pos juga kini diletakkan di bawah suruhanjaya ini. Apabila ditubuhkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia diletakkan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Kini ia diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Beberapa pihak pernah menyarankan supaya komponen komunikasi diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Saya sendiri ada menulis dalam Berita Harian mengenai perkara ini (Jika ia dapat disalin, saya akan pindahkan artikel itu dalam blog ini).
(4) Akta Tandatangan Digital 1997.
Akta ini digubal untuk membolehkan diterima secara sah segala urusan melalui online termasuk penggunaan tandatangan secara digital. Tujuan utamanya ialah untuk melicinkan dagangan secara elektronik, sebagai usaha meningkatkan e-commerce atau e-dagang. Kelulusan undang-undang ini perlu kerana pengesahan dari segi undang-undang adalah sukar untuk melaksanakan dokumentasi secara online.
(5) Akta Jenayah Komputer 1997.
Tujuan utama akta ini ialah untuk melengkapkan undang-undang jenayah khususnya berkaitan dengan jenayah yang dilakukan melalui jaringan komputer. Akta ini memperuntukkan jenis-jenis jenayah dan hukumannya.
(6) Akta Teleperubatan 1997
Akta ini membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Ia memperuntukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal perubatan. Akta ini membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.
(7) Akta Hak Cipta (Pindaan).
Akta ini memasukkan unsur-unsur yang berkaitan dengan hakcipta dalam Akta induk. Ini bermakna apa-apa hasil karya yang dilakukan di dalam dan melalui internet adalah terlindung di bawah Akta Hakcipta.

        Kesimpulannya, penguatkuasaan undang-undang ke atas teknologi komunikasi tidak seharusnya berlaku kerana ia jelas bertujuan untuk menjaga kepentingan pihak kerajaan semata-mata. Undang-undang ini menyekat kebebasan teknologi komunikasi dan mencabul hak asasi manusia. Media seharusnya berfungsi secara telus untuk semua bukan pihak tertentu sahaja. Namun dalam pada itu, undang-undang masih perlu dikuatkuasakan tetapi ia bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang telus tetapi digunakan untuk menghalang pengamal media terutamanya wartawan serta masyarakat keseluruhannya daripada menyalahgunakan media untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu.

No comments:

Post a Comment