Friday, October 1, 2010

Teknologi Komunikasi dan Demokrasi Dalam Pilihanraya


Sejauh manakah teknologi terkini memberi kesan dalam konteks pilihanraya bagi sesebuah Negara berdemokrasi?

Pilihanraya ialah satu peluang untuk kita cuba membentuk satu persekitaran yang boleh meningkatkan lagi amalan demokrasi di negara ini. Bercakap mengenai pilihanraya, Negara kita baru sahaja selesai menjalani satu pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang di mana dapat kita lihat keputusannya memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi. Seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, pula hilang wang deposit selepas memperoleh hanya 92 undi. Apa yang dapat kita lihat dari senario ini adalah menunjukkan Negara Malaysia masih lagi Negara yang demokrasi,dimana rakyat mempunyai hak membuat pilihan sendiri untuk memilih wakil rakyat mereka melalui pilihanraya ini walaupun pelbagai spekulasi timbul berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang kita sedia maklum mengenainya sebelum ini.
Selain itu,dalam proses pilihanraya juga, ahli politik turut menggunakan kemajuan teknologi sebagai medium untuk memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah parti dalam piliharaya. Statistik menunjukkan bahawa 73% bakal pengundi di Malaysia mempunyai akses kepada maklumat dalam talian. Akses maklumat dalam talian (online) itu termasuklah pemilikan telefon bimbit dan juga akses kepada internet. Melalui telefon bimbit , bakal pengundi akan disogokkan oleh panggilan , SMS serta MMS yang berbau politik dan kempen pilihanraya. SMS atau MMS mungkin akan diterima oleh pengguna telefon bimbit melalui nombor-nombor telefon biasa ataupun dari nombor-nombor premium lima digit. Dalam keadaan-keadaan tertentu SMS atau MMS mungkin dihantar melalui server didalam dan luar negara.

Sebagai contoh,dalam pilihanraya Umum Malaysia ke-11 pada tahun 2004 menyaksikan kehebatan kesan SMS digunakan untuk kemudahan berkempen. Statistik dari sumber pembekal perkhidmatan telekomunikasi menunjukkan bahawa lebih 200 juta SMS telah dihantar sepanjang tempoh berkempen. Pada peringkat pra-pilihanraya dimana bakal-bakal calon melobi untuk mendapatkan kerusi untuk bertanding, SMS telah digunakan untuk menjatuh atau menaikkan seseorang calon sesama parti. Keadaan ini telah menyebabkan pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tentang penggunaan SMS fitnah dan maklumat palsu dalam tempoh berkempen. Walaupun nombor-nombor telefon tertentu telah disekat dari menghantar SMS, keadaannya sudah tidak terkawal lagi apabila pihak-pihak yang berkempen telah menggunakan SMS gateway dari server-server yang berada diluar Negara

Calon-calon yang bertanding serta pengurus-pengurus kempen mereka telah menggunakan sepenuhnya kemudahan telekomunikasi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Kemudahan ini juga telah digunakan untuk menggerakkan jentera pilihanraya dibawah kelolaan mereka. Ini telah menghasilkan tindakbalas yang cepat serta tepat. Sebarang perubahan strategi telah dapat dihebahkan dalam masa yang sangat singkat dan amat berkesan.Apabila keputusan pilihanraya diumumkan, jelas terbukti bahawa pengaruh penggunaan sistem telekomunikasi terutamanya SMS sangat memberi kesan. Calon-calon yang bertanding sebelumnya tidak menyangka untuk menang telah mendapat keputusan yang memihak kepadanya, sementara calon-calon yang terlalu yakin akan menang,lalu mengabaikan penggunaan teknologi telah merosot pencapaian mereka malah ada yang langsung kalah.Merujuk kepada pengunaan teknologi dalam piliharaya, seorang penganalisa politik yang terkemuka berpendapat bahawa dalam pilihanraya ke-11 ditahun 2004 calon-calon yang dapat menguasai sistem teknologi telekomunikasi telah berjaya dengan cemerlang.

Dengan kecanggihan alat telekomunikasi dan kelajuan capaian internet pada masa kini, calon-calon serta pengurus kempen akan berdepan dengan cabaran untuk menguasai kedua-dua saluran tersebut. Dengan maklumat yang terkini serta lengkap, bakal-bakal pengundi telah mengenepikan maklumat-maklumat yang diperolehi dari media cetak dan juga media eletronik. Surat Khabar, radio serta TV tidak lagi menjadi rujukan utama sepanjang tempoh berkempen. Orang ramai lebih tertumpu kepada internet dan sumber telekomunikasi seperti SMS dan MMS.Parti-parti yang bertanding sekarang harus bersedia untuk menyediakan prasarana kempen mereka didalam internet dan saluran-saluran telekomunikasi seperti SMS dan MMS. Calon-calon yang bertanding harus memiliki perkhidmatan capaian internet tanpa wayar (wireless internet) mereka sendiri dikawasan yang mereka akan bertanding. Mereka juga tidak lagi boleh mengharapkan kempen dari laman-laman web yang disediakan oleh pihak parti. Mereka sendiri harus membina laman web atau blog mereka bagi menyalurkan maklumat serta berkempen mengenai isu-isu tempatan. Melalui laman web itu juga mereka boleh mewujudkan saluran webTV atau radio online mereka sendiri bagi mengemukakan manifesto serta rancangan-rancangan yang akan mereka lakukan jika mereka dipilih.

Pilihanraya masa kini tidak boleh lagi dilihat sebagai satu pilihanraya yang pasif dimana bakal pengundi hanya menerima maklumat dari satu sumber. Mereka mempunyai banyak pilihan dan berhak menyatakan pendapat mereka secara aktif. Mereka akan melayari internet bagi mendapatkan serta menyalurkan maklumat secara aktif. Sudah tentunya laman web, portal, forum, blog dan saluran TV online akan menjadi pilihan mereka.Bukan saja golongan muda yang terdedah dengan maklumat tersebut, malah orang-orang kampung sekarang ini sudah bijak mengunakan internet dan saluran telekomunikasi SMS dan MMS.Dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang ini kita akan melihat bahawa pilihanraya di Malaysia akan berdepan dengan penggunaan kecanggihan teknologi yang melonjak dalam kaedah melobi dan berkempen pada masa hadapan.