Friday, October 1, 2010

Teknologi Komunikasi dan Demokrasi Dalam Pilihanraya


Sejauh manakah teknologi terkini memberi kesan dalam konteks pilihanraya bagi sesebuah Negara berdemokrasi?

Pilihanraya ialah satu peluang untuk kita cuba membentuk satu persekitaran yang boleh meningkatkan lagi amalan demokrasi di negara ini. Bercakap mengenai pilihanraya, Negara kita baru sahaja selesai menjalani satu pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang di mana dapat kita lihat keputusannya memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi. Seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, pula hilang wang deposit selepas memperoleh hanya 92 undi. Apa yang dapat kita lihat dari senario ini adalah menunjukkan Negara Malaysia masih lagi Negara yang demokrasi,dimana rakyat mempunyai hak membuat pilihan sendiri untuk memilih wakil rakyat mereka melalui pilihanraya ini walaupun pelbagai spekulasi timbul berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang kita sedia maklum mengenainya sebelum ini.
Selain itu,dalam proses pilihanraya juga, ahli politik turut menggunakan kemajuan teknologi sebagai medium untuk memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah parti dalam piliharaya. Statistik menunjukkan bahawa 73% bakal pengundi di Malaysia mempunyai akses kepada maklumat dalam talian. Akses maklumat dalam talian (online) itu termasuklah pemilikan telefon bimbit dan juga akses kepada internet. Melalui telefon bimbit , bakal pengundi akan disogokkan oleh panggilan , SMS serta MMS yang berbau politik dan kempen pilihanraya. SMS atau MMS mungkin akan diterima oleh pengguna telefon bimbit melalui nombor-nombor telefon biasa ataupun dari nombor-nombor premium lima digit. Dalam keadaan-keadaan tertentu SMS atau MMS mungkin dihantar melalui server didalam dan luar negara.

Sebagai contoh,dalam pilihanraya Umum Malaysia ke-11 pada tahun 2004 menyaksikan kehebatan kesan SMS digunakan untuk kemudahan berkempen. Statistik dari sumber pembekal perkhidmatan telekomunikasi menunjukkan bahawa lebih 200 juta SMS telah dihantar sepanjang tempoh berkempen. Pada peringkat pra-pilihanraya dimana bakal-bakal calon melobi untuk mendapatkan kerusi untuk bertanding, SMS telah digunakan untuk menjatuh atau menaikkan seseorang calon sesama parti. Keadaan ini telah menyebabkan pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tentang penggunaan SMS fitnah dan maklumat palsu dalam tempoh berkempen. Walaupun nombor-nombor telefon tertentu telah disekat dari menghantar SMS, keadaannya sudah tidak terkawal lagi apabila pihak-pihak yang berkempen telah menggunakan SMS gateway dari server-server yang berada diluar Negara

Calon-calon yang bertanding serta pengurus-pengurus kempen mereka telah menggunakan sepenuhnya kemudahan telekomunikasi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Kemudahan ini juga telah digunakan untuk menggerakkan jentera pilihanraya dibawah kelolaan mereka. Ini telah menghasilkan tindakbalas yang cepat serta tepat. Sebarang perubahan strategi telah dapat dihebahkan dalam masa yang sangat singkat dan amat berkesan.Apabila keputusan pilihanraya diumumkan, jelas terbukti bahawa pengaruh penggunaan sistem telekomunikasi terutamanya SMS sangat memberi kesan. Calon-calon yang bertanding sebelumnya tidak menyangka untuk menang telah mendapat keputusan yang memihak kepadanya, sementara calon-calon yang terlalu yakin akan menang,lalu mengabaikan penggunaan teknologi telah merosot pencapaian mereka malah ada yang langsung kalah.Merujuk kepada pengunaan teknologi dalam piliharaya, seorang penganalisa politik yang terkemuka berpendapat bahawa dalam pilihanraya ke-11 ditahun 2004 calon-calon yang dapat menguasai sistem teknologi telekomunikasi telah berjaya dengan cemerlang.

Dengan kecanggihan alat telekomunikasi dan kelajuan capaian internet pada masa kini, calon-calon serta pengurus kempen akan berdepan dengan cabaran untuk menguasai kedua-dua saluran tersebut. Dengan maklumat yang terkini serta lengkap, bakal-bakal pengundi telah mengenepikan maklumat-maklumat yang diperolehi dari media cetak dan juga media eletronik. Surat Khabar, radio serta TV tidak lagi menjadi rujukan utama sepanjang tempoh berkempen. Orang ramai lebih tertumpu kepada internet dan sumber telekomunikasi seperti SMS dan MMS.Parti-parti yang bertanding sekarang harus bersedia untuk menyediakan prasarana kempen mereka didalam internet dan saluran-saluran telekomunikasi seperti SMS dan MMS. Calon-calon yang bertanding harus memiliki perkhidmatan capaian internet tanpa wayar (wireless internet) mereka sendiri dikawasan yang mereka akan bertanding. Mereka juga tidak lagi boleh mengharapkan kempen dari laman-laman web yang disediakan oleh pihak parti. Mereka sendiri harus membina laman web atau blog mereka bagi menyalurkan maklumat serta berkempen mengenai isu-isu tempatan. Melalui laman web itu juga mereka boleh mewujudkan saluran webTV atau radio online mereka sendiri bagi mengemukakan manifesto serta rancangan-rancangan yang akan mereka lakukan jika mereka dipilih.

Pilihanraya masa kini tidak boleh lagi dilihat sebagai satu pilihanraya yang pasif dimana bakal pengundi hanya menerima maklumat dari satu sumber. Mereka mempunyai banyak pilihan dan berhak menyatakan pendapat mereka secara aktif. Mereka akan melayari internet bagi mendapatkan serta menyalurkan maklumat secara aktif. Sudah tentunya laman web, portal, forum, blog dan saluran TV online akan menjadi pilihan mereka.Bukan saja golongan muda yang terdedah dengan maklumat tersebut, malah orang-orang kampung sekarang ini sudah bijak mengunakan internet dan saluran telekomunikasi SMS dan MMS.Dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang ini kita akan melihat bahawa pilihanraya di Malaysia akan berdepan dengan penggunaan kecanggihan teknologi yang melonjak dalam kaedah melobi dan berkempen pada masa hadapan.


Monday, September 20, 2010

Penyalahgunaan Teknologi Komunikasi Di Malaysia

Sejauhmanakah keberkesanan sistem perundangan di Malaysia untuk menangani isu penyalahgunaan teknologi komunikasi ini?

        Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (samaada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara penduduk mereka.
        Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan peranan yang penting dalam media untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen.
        Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Teknologi Internet memungkinkan seseorang menyalahgunakan maklumat dan berbagai jenis perkhidmatan yang disediakan. Salah satu penyalahgunaan teknologi Internet masakini ialah jenayah siber.
        Di Malaysia contohnya, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat- maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai. Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, makalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia, infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat.
        Disebabkan penguatkuasaan undang-undang ini, media massa tidak mampu berfungsi sebagai penyalur maklumat yang tepat kepada masyarakat. Hal ini kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tidak telus. Setiap artikel yang akan diterbitkan harus menjalani beberapa tapisan supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak akan menimbulkan perkara-perkara yang negatif tentang kerajaan. Situasi ini menunjukkan bahawa wartawan masih terikat dengan undang-undang dan dikawal daripada memberi maklumat yang sebenar kepada masyarakat. Jika terdapat wartawan yang melanggar batasan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).
        Internet dilihat sebagai media alternatif terbaik untuk medium demokrasi yang lebih terbuka. Kerajaan telah menetapkan bahawa tiada penapisan internet yang diperkenalkan dalam Rang Jaminan. Namun begitu, undang-undang tetap dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang dilihat mampu mengancam Negara menerusii penggunaan internet menuurut interpretasi pihak kerajaan. Lihat saja, apa yang terjadi kepada blog "Malaysia Today" yang ditutup oleh kerajaan dan kepada pemliknya sendiri iaitu Raja Petra.
Cuma penguatkuasaan undang-undang ke atas internet tidak berapa berkesan kerana sifat internet itu sendiri iaitu bersifat virtual, ketanpanamaan, terbuka dan luas serta susah untuk mengesan individu yang menggunakan internet. Faktor-faktor inilah yang menjadikan internet sebagai ruang demokrasi yang lebih baik di kalangan rakyat berbanding media massa.
       Malaysia telah telah meletakkan pada asas yang kukuh pembangunan ICT dengan menyediakan undang-undang. Sebagai permulaan sebanyak lima undang-undang telah digubal dan diluluskan, seperti berikut:
(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini merupakan sendi kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT bagi negara ini. Dalam akta ini disenaraikan 10 objektif dasar nasional bagi industry komunikasi dan multimedia (Sila rujuk Akta untuk perinciannya, atau buku Mengenali Undang-undang Media dan Siber).
(2) Akta ini juga meletakkan janji Kerajaan mengenai tiada tapisan dalam Internet di bawah Seksyen 3(3)
Berikutan dengan kelulusan Akta ini, sebuah kementerian khas diwujudkan yang memasukkan elemen komunikasi dan multimedia di dalamnya. Kementerian ini pada mulanya dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. (Kini komponen komunikasi di keluarkan dan digabungkan dengan Kementerian Penerangan, bersama dengan komponen Kebudayaan).
(3) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Akta ini membolehkan ditubuh sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambilalih kuasa pelesenan terhadap spectrum penyiaran dan telekomunikasi. Urusan pos juga kini diletakkan di bawah suruhanjaya ini. Apabila ditubuhkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia diletakkan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Kini ia diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Beberapa pihak pernah menyarankan supaya komponen komunikasi diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Saya sendiri ada menulis dalam Berita Harian mengenai perkara ini (Jika ia dapat disalin, saya akan pindahkan artikel itu dalam blog ini).
(4) Akta Tandatangan Digital 1997.
Akta ini digubal untuk membolehkan diterima secara sah segala urusan melalui online termasuk penggunaan tandatangan secara digital. Tujuan utamanya ialah untuk melicinkan dagangan secara elektronik, sebagai usaha meningkatkan e-commerce atau e-dagang. Kelulusan undang-undang ini perlu kerana pengesahan dari segi undang-undang adalah sukar untuk melaksanakan dokumentasi secara online.
(5) Akta Jenayah Komputer 1997.
Tujuan utama akta ini ialah untuk melengkapkan undang-undang jenayah khususnya berkaitan dengan jenayah yang dilakukan melalui jaringan komputer. Akta ini memperuntukkan jenis-jenis jenayah dan hukumannya.
(6) Akta Teleperubatan 1997
Akta ini membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Ia memperuntukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal perubatan. Akta ini membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.
(7) Akta Hak Cipta (Pindaan).
Akta ini memasukkan unsur-unsur yang berkaitan dengan hakcipta dalam Akta induk. Ini bermakna apa-apa hasil karya yang dilakukan di dalam dan melalui internet adalah terlindung di bawah Akta Hakcipta.

        Kesimpulannya, penguatkuasaan undang-undang ke atas teknologi komunikasi tidak seharusnya berlaku kerana ia jelas bertujuan untuk menjaga kepentingan pihak kerajaan semata-mata. Undang-undang ini menyekat kebebasan teknologi komunikasi dan mencabul hak asasi manusia. Media seharusnya berfungsi secara telus untuk semua bukan pihak tertentu sahaja. Namun dalam pada itu, undang-undang masih perlu dikuatkuasakan tetapi ia bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang telus tetapi digunakan untuk menghalang pengamal media terutamanya wartawan serta masyarakat keseluruhannya daripada menyalahgunakan media untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu.

Monday, September 13, 2010

Kuasa Teknologi Komunikasi

Adakah benar sistem teknologi komunikasi dapat mengubah sistem-sistem masyarakat ataupun sistem politik itu sendiri yang berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi?
            Teknologi komunikasi perupakan pemangkin sesebuah negara dan masyarakatnya. Tanpanya, sesebuah negara dan masyarakatnya tidak akan maju. Seperti yang kita ketahui, internet dan sistem pesanan ringkas (SMS) merupakan alat yang penting untuk berhubung antara satu dengan yang lain. Selain itu, teknologi komunakasi jugalah yang membantu kita dalam sistem-sistem politik dan ekonomi sesebuah negara. Ini disebabkan oleh, teknologi komunikasi dan sistem-sistem sesebuah negara saling berkaitan.
            Dari satu sudut lain, kita dapat melihat bahawa terdapat unsur kebaikan terhadap proses politik. Sejauh manakah kebaikan tersebut dalam pemerintahan yang demokrasi? Hal ini dibuktikan apabila peranan teknologi komunikasi seperti internet mampu menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Penerimaan maklumat yang meluas membolehkan masyarakat mendapat dan mengetahui segala isu politik yang berlaku dalam negara. Bahkan, masyarakat boleh membincangkan serta meluahkan hal ehwal politik dan ketidakpuasan hati dengan kerajaan melalui portal-portal yang diwujudkan. Persoalannya, apakah hasil dari luahan tersebut?
            Perkara ini telah ditunjukan dengan jelasnya apabila internet menjadi sumber untuk mendapatkan maklumat dengan mudah, cepat dan tepat. Hasil luahan, perdebatan, kritikan dan sokongan menerusi teknologi komunakasi, secara tidaka langsung telah wujudnya propaganda dan pelbgai bentuk pemanipulasian yang dikatakan oleh pihak pemerintah apabila BN telah kalah dengan PKR. Ini dibuktikan dengan jelasnya apabila lima buah negeri telah jatuh ke tangan pihak pembangkang.
            Dalam era globalisasi yang mengejar pembangunan, teknologi komunikasi merupakan medium utama dan memainkan peranan penting untuk mengubah sistem masyarakat. Situasi ini ditunjukan apabila pihak bukan kerajaan (NGO) menggunakan internet sebagai alat utama untuk mengkritik dan mempengaruhi pendapat umum. Bukan sahaja pihak NGO, tetapi kecanggihan teknologi komunikasi juga telah mengalu-alukan penglibatan masyarakat itu dengan sendirinya. Hal ini dapt memuaskan masyarakat dalam proses demokrasi itu sendiri. Namun, sejauh manakah keberkesanannya?
            Perkara ini dipertikaikan apabila sistem politik itu sendiri yang berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi. Hal ini terjadi apabila setiap isu yang telah didebatkan oleh masyarakt tidak pernah dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Ini kerana, banyak isu yang telah dibincangkan dalam internet mempertikaikan dan mengkritik pihak kerajaan dimana, isu-isu sebegitu dianggap fitnah dan dipercayai ditonjolkan dari hasil minoriti masyarakat negara sahaja. Isu-isu yang dianggap fitnah dan dikatakan mengancam kestabilan dan serta keselamatan negara melalui teknologi komunikasi seperti blog, forum dan lain-lain cara boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan lain-lain. Disini kita dapat lihat bahawa sistem politik itu sendiri telah berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi dimana data-data yang ingin dipaparkan mestilah tidak menggugat keselamatan dan kententeraman negara. Contohnya, Malaysian Today yang telah disekat dari mengakses telah dibenarkan semula apabila banyak pihak mengatakan ianya salah sebagai melanggar undang-undang ketiadaan penapisan internet. Ini menyebabkan Malaysian Today boleh diakses dan data di dalamnya telah dibataskan.
            Kesimpulannya, teknologi komunikasi sememangnya boleh mengubah sistem masyarakat itu sendiri dan meluaskan pandangan mereka. Akan tetapi, keberkesanannya masih terhad dengan kawalan pihak kerajaan.

Monday, September 6, 2010

Tanggungjawab Sosial Media Massa Dalam Konteks Demokrasi

Adakah media massa di Malaysia hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dalam konteks demokrasi?
Perkembangan media massa arus perdana di Malaysia amatlah menyedihkan pada masa sekarang untuk diterima. Ini kerana, media massa sekarang telah menyimpang jauh dari matlamatnya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Seperti yang kita ketahui, media massa berfungsi sebagai “watchdog” iaitu pemerhati proses politik yang berkecuali. Ini bermaksud, media massa perlu menjaga hak-hak dan kepentingan masyarakat supaya terjaga dan dilindungi. Akan tetapi, media massa sekarang telah banyak dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Persoalannya, mungkinkah media massa telah mengabaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan berperanan kepada pihak lain?
Jika dilihat perkembangan media massa Malaysia, ia telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat. Ini adalah kerana, media arus perdana di Malaysia telah dikawal oleh pihak pemerintah serta orang-orang yang berkepentingan. Perkara ini dilihat apabila media arus perdana di Malaysia banyak menyiarkan berita-berita yang positif yang telah dijalankan oleh pihak pemerintah. Berita-berita mengenai pihak pembangkang secara keseluruhannya banyak disiarkan mengenai isu-isu yang negatif dalam media massa arus perdana di Malaysia. Selain itu, media massa kini lebih banyak memaparkan berita-berita yang bersifat komersial dan menyajikan penonton atau pembaca dengan berita-berita yang dapat menarik banyak perhatian bagi mengaut keuntungan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab sosial masih lagi dijalankan oleh media massa arus perdana di Malaysia terutamanya pada waktu yang hampir dengan pilihanraya. Akan tetapi, tanggungjawab yang ditonjolkan oleh media arus perdana di Malaysia lebih cenderung kepada pihak kerajaan. Ini menunjukan bahawa, media massa Malaysia lebih cenderung kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Hakikatnya, inilah yang telah terjadi kepada media massa yang telah dikelilingi dengan pelbagai pengaruh bagi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Oleh yang demikian, sejauh manakah demokrasi seandainya undang-undang menyekat kebebasan media? Disini dapat kita lihat bahawa, tanggungjawab sosial media massa adalah terhad kerana sukar untuk melaksanakannya. Ia disebabkan oleh, kebebasan menyuarakan suara rakyat adalah terhad di mana media massa tertakluk kepada undang-undang. Selain itu, media massa juga telah dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyebarkan ideologi-ideologi dan mengadakan propaganda untuk menarik perhatian masyarakat demi kepentingan sendiri kerana undang-undang media yang telah digubal oleh kerajaan juga menyebabkan tanggungjawab sosial media massa dikurangkan. Ini adalah kerana, suara rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan di tapis penyiarannya dan kebanyakannya tidak disiarkan. Perkara tersebut terjadi kerana undang-undang media massa tidak boleh menyiarkan perkara yang menggamit sensitiviti mana-mana pihak.
Di manakah yang dikatakan demokrasi atau masih adakah demokrasi seandainya pihak yang berlainan pendapat langsung tidak mendapat tempat dalam media arus perdana? demokrasi dalam konteks tanggungjawab sosial media massa telah tergugat kerana kewartawanan sendiri tidak berlaku adil dan seimbang dalam menyebarkan maklumat. Ini adalah kerana, kewartanan dalam arus perdana telah berpihak kepada parti pemerintah sahaja. Selain itu, media massa juga seperti telah "mencuri" hak rakyat dalam menyuarakan pendapat mereka terutamanya di kawasan parti pembangkang. Disini dapat kita lihat bahawa kurangnya liputan daripada media massa untuk mempamerkan aktiviti tanggungjawab sosial yang dijalankan oleh parti pembangkang.
Secara keseluruhannya, wujudkan demokrasi dalam konteks tanggungjawab sosial media massa apabila kebebasan bersuara dikawal dan disekat oleh undang-undang.

Monday, August 30, 2010

Jenis-Jenis Teknologi

Contoh-contoh teknologi yang digunakan dalam demokrasi di Malaysia.


        Kemajuan yang wujud di era ini telah menyebabkan kita makin bertamadun dan berpengatahuan. Segala-galanya telah menjadi makin mudah dengan kewujudan teknologi. Kalau dahulu teknologi itu ibarat satu benda yang baru dan bukan semua orang boleh menggunakannya, tetapi sekarang tanpa teknologi individu tersebut dikatakan ketinggalan. Kita kembali pada perbincangan asas yang saya ingin katakan tentang demokrasi yang wujud di tengah-tengah perkembangan pesat teknologi komunikasi kini. Kewujudan teknologi komunikasi yang tanpa sekatan dan sempadan kini meyebabkan kita makin berani untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.
         “Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik” menuruk Wikipedia.
       “Dalam era globalisasi yang semakin mengejar kepesatan pembangunan, penggunaan internet kini semakin meluas dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihanraya. Melalui situasi ini, internet menjadi alat penting kepada pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempengaruhi pandangan umum. Hal ini membuatkan kita menerima medium digital sebagai media alternatif bagi saluran meluahkan pandangan. Bukan sahaja kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi kecanggihan teknologi kini turut mengalu-alukan penglibatan masyarakat terhadap proses politik negara. Melalui teknologi kini, masyarakat berhak menyuarakan pandangan dan pendirian mereka sendiri tanpa sebarang sekatan” menurut halcyon team.
        “Terdapat unsur kebaikan terhadap proses politik juga pemerintahan demokrasi di negara kita. Hal ini dapat dijelaskan lagi melalui peranan teknologi seperti internet, yang mampu melebarkan maklumat kepada masyarakat. Melalui penyebaran maklumat yang meluas, masyarakat dapat mengetahui setiap isu yang berlaku dalam dunia politik negara. Selain itu, apabila rakyat menggunakan medium internet untuk membincangkan hal ehwal politik serta meluahkan ketidakpuashatian dengan kerajaan, ia boleh menyedarkan pemerintah tentang kesilapan yang dilaksanakan dan memperbetulkan kesilapan tersebut untuk kebaikan rakyat” menurut halcyon team.
      Ada dikalangan pemilik syarikat komunikasi yang mempunyai kaitan dengan pihak kerajaan. Bagi menjaga hubungan baik syarikat dengan pihak kerajaan mereka terpaksa terlibat dalam menjalankan propaganda atau sesuatu dasar yang ingin dicapai oleh pihak kerajaan. Ada sesetengah pihak kurang berpuas hati dengan tindakkan kerajaan. Mereka ini ialah bagi pihak pembankang yang ingin menyuarakan sesuatu pekara terhadap kerajaan. Mereka terpaksa mencari aternatif lain dengan membuat akbar sendiri dan blog-blog. Mereka boleh menyuarakan segala ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan. Rakyat ingin mencari boleh mencapai blog-blog ini tanpa sebarang sekatan maklumat bagi tujuan untuk membuat perbandingan maklumat yang telah mereka perolehi itu. Dengan itu, rakyat mampu menailai sebarang maklumat itu sebelum membuat keputusan tentang kebenarannya. 
        Demokrasi yang akan diwujudkan di Malaysia akan terbatas dengan wujudnya rang undang-undang yang membataskan penyampaian maklumat oleh pelbagai pihak. Segala maklumat yang ingin di sampaikan kepada masyarakat perlu melalui syarat-syarat tertentu sebelum disiarkan di dalam media komunikasi, sekiranya ia tidak menepati keperluan yang kerajaan maka maklumat itu tidak diperlukan untuk disiarkan dalam media komunikasi.
        Kita perlu lihat juga dari segi budaya dan agama yang ada dalam negara kita ini. Sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang undang-undang nescaya akan berlakunya masalah rusuhan dalam negara. Ini dapat dilihat melalui berita yang disiarkan oleh televisyen mengenai seorang anak boleh memilih agama setelah mencapai umur 21 tahun, cadangan ini telah dikemukan oleh badan peguam tanpa sebarang perbincangan dengan pelbagai pihak. Cadangan ini mendapat tentangan daripada semua penduduk Malaysia yang beragama Islam, badan peguam tidak memahami isu-isu sensitif orang Islam.
        Pesanan ringkas sms walaupun medium kecil dalam media komunikasi namun ia mampu memberikan kesan yang cukup besar keatas demokrasi di Malaysia. “Selain itu, dalam pilihanraya umum ke 11 yang lalu, pihak pembangkang berkempen menggunakan media alternatif seperti SMS dan laman blog akibat daripada kawalan media aliran perdana oleh kerajaan Barisan Nasional. Pihak pembangkang telah menggunakan SMS untuk menyebarkan ideologi mereka kepada para pengundi supaya menyokong mereka. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri - Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta polis menyiasat perbuatan menyebarkan SMS yang didakwanya berbau perkauman dalam pilihanraya umum. Katanya, SMS tersebut turut meminta penerimanya jangan menyokong calon Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa mereka hanya membantu satu kaum tertentu sahaja” menurut halcyon team.
        Kesimpulan, sistem demokrasi memang dapat diwujudkan dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi tetapi pihak kerajaan perlu ada sifat keterbukaan dari sudut yang tidak berkaitan budaya dan agama sesuatu kaum. Mereka perlu menerima segala pandangan ini untuk memperbaiki segala kelemahan yang telah disuarakan pihak tersebut. Jesteru itu, demokrasi Malaysia itu sendiri akan terwujud dengan sendiri.


 

                                                                  




bibliografi
http://ms.wikipedia.org/wiki/Demokrasi
http://blissourteam.blogspot.com/

Tuesday, August 24, 2010

Internet dan Demokrasi

Nilaikan secara kritis kaitan antara internet dan demokrasi dalam pelbagai konteks.

     Teknologi komunikasi adalah sistem elektronik yang digunakan untuk berkomunikasi antara individu atau sekumpulan manusia. Teknologi komunikasi memudahkan komunikasi antara individu atau sekumpulan manusia yang tidak bertemu secara fizikal di lokasi yang sama. Contoh teknologi komunikasi ialah telefon, teleks, faks, radio, televisyen, internet dan lain-lain lagi.

     Demokrasi ialah satu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah di tentukan oleh rakyat. Demokrasi boleh disama ertikan dengan pemerintahan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang di gubal oleh rakyat atau wakil rakyat yang di pilih oleh negara. Sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi juga dipanggil sebagai negara yang demokratik. Maksud demokrasi ini dipetik daripada perkataan Yunani iaitu bermaksud “di perintah oleh rakyat”. Antara yang ada dalam sesebuah negara demokrasi ialah perlembagaan, pilihanraya, hak mengundi, hak golongan minoriti, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan akhbar dan media, kebebasan berpersatuan serta rakyat memiliki hak yang sama dalam undang-undang. Masyarakat keseluruhannya juga akan mendapat manfaat yang seimbang dalam konteks sosial, ekonomi dan konteks-konteks yang lain.

     Di sebalik kegagalan media massa beroperasi di bawah iklim demokrasi terus hangat diperkatakan, internet muncul sebagai medium dan platform yang paling sesuai untuk memupuk dan memperluaskan proses demokrasi disebabkan oleh kebolehan interaktif dan keupayaan volume, kepantasan mengakses dan ketepatan yang dimiliki oleh internet itu sendiri. Internet menggalakan masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik dan seterusnya memupuk proses demokrasi. Elemen-elemen inilah yang menjadikan internet sebagai medium terbaik untuk amalan proses demokrasi.

     Elemen pertama internet iaitu kebolehan interaktif dan keupayaan volume telah membenarkan penglibatan aktif masyarakat di dalam media. Dalam konteks hubungan dengan proses demokrasi, internet memberikan masyarakat peluang untuk memberi atau berkongsi idea serta pandangan tentang sesuatu isu yang berlaku. Selain itu juga, masyarakat boleh meluahkan sebarang rasa tidak puas hati atau mengkritik sesuatu perkara yang tidak dipersetujui. Di internet, terdapat pelbagai laman web yang membenarkan masyarakat untuk menghantar pandangan tentang pelbagai isu termasuklah politik. Antara laman web tersebut ialah Malaysiakini.com, bincang.net, amnet dan sebagainya. Masyarakat juga boleh bersembang secara bebas dengan masyarakat-masyarakat lain. Ini boleh dilakukan di dalam forum mahupun ‘chatting’. Contohnya; di dalam blog ‘bincang.net’ terdapat forum perbincangan yang membolehkan masyarakat untuk terlibat dalam perbincangan politik dengan masyarakat-masyarakat lain tentang apa-apa sahaja isu semasa. Sebagai contoh, dalam perbicaraan kes berprofil tinggi seperti Altantuya, media tradisonal dilihat gagal untuk menyelongkar dan mendedahkan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku. Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh media tradisional dalam pemaparan laporan kes tersebut. Jadi, ketika inilah internet memainkan peranan yang demokratik dengan membenarkan rakyat untuk berdebat tentang isu tersebut secara terbuka.

    Menerusi internet, masyarakat dengan bebas boleh memberikan pandangan tentang isu tersebut termasuklah memdedahkan perkara yang disembunyikan sehingga akhirnya kita mendapat gambaran yang jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku. Penglibatan yang interaktif ini adalah didasarkan keluasan ruang di dalam internet. Terdapat pelbagai medium di dalam internet yang membolehkan masyarakat menggunakan kemudahan internet secara maksimum dalam proses demokrasi. Contohnya; internet membolehkan kita mencipta weblog peribadi, terlibat dalam forum, ‘video conferencing’, kemudahan ‘Internet Relay Chat’, ‘newsgroup’, email dan lain-lain lagi. Melalui medium-medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik. Seterusnya, internet berperanan dalam proses demokrasi kerana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja. Menerusi internet, kita boleh mendapatkan apa saja maklumat yang kita ingini tanpa sekatan dari sesiapa.

     Dari isu politik, pendidikan, ekonomi, sosial sehinggalah isu budaya. Semuanya boleh didapati di internet. Dalam konteks memupuk proses demokrasi, internet menawarkan pelbagai informasi tentang politik luar negara umumnya dan di dalam negara khasnya. Dari informasi yang telah lama berlalu sehinggalah baru berlaku semalam. Kadang kala kita terlepas pandang isu-isu politik yang dipaparkan di dalam media tradisional contohnya di akhbar dan televisyen. Jadi, dalam keadaan ini kita menggunakan internet untuk mencari isu-isu tersebut. Begitu juga, terdapat isu-isu yang berlaku tetapi tidak dipaparkan di dalam media tradisional. Dalam situasi ini juga, kita boleh menggunakan internet untuk mengakses isu-isu tersebut. Dalam situasi yang lain, kita ingin mengikuti perkembangan sesuatu isu dan pastinya internet membenarkan kita untuk berbuat sedemikian. Contohnya; kita ingin mengetahui perkembangan terkini pilihanraya umum. Siapakah calon-calon, strategi yang diambil oleh calon, propaganda dan sebagainya. Menerusi internet, kita akan dapat semua maklumat tersebut. Internet juga bukan sahaja membenarkan kita mengakses informasi dalam negara tetapi juga negara-negara lain.

      Mendokong konsep ‘dunia tanpa sempadan’ yang menghubungkan jutaan manusia di seluruh dunia dalam rangkaian elektronik global, internet menyalurkan pelbagai maklumat dan berita dalam pelbagai lapangan. Masyarakat boleh mendapatkan maklumat tentang situasi politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan England sebagai contoh. Begitu juga, masyarakat boleh mengakses informasi tentang konflik dan pergolakan yang berlaku di negara-negara yang diancam peperangan seperti Palestin, Iraq, Pakistan dan lain-lain. Selain itu, menerusi e-kerajaan iaitu portal elektronik kerajaan ia membenarkan kita untuk mengakses pelbagai maklumat berkaitan kerajaan antaranya melibatkan maklumat ekonomi, pendidikan, hal ehwal masyarakat dan politik pastinya.

     Selain itu, internet adalah medium yang paling berpotensi dalam memupuk proses demokrasi kerana elemen kepantasan yang dimiliki. Sebagaimana yang diketahui, internet adalah jaringan komunikasi maya yang menyalurkan pelbagai maklumat dengan pantas. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila internet sentiasa mendahului media tradisional dalam memaparkan sesuatu isu. Contoh yang berlaku adalah apabila Perdana Menteri – Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan rasminya membubarkan parlimen baru-baru ini yang menandakan demam pilihanraya bermula. Internet tidak memerlukan masa yang lama untuk menyebarkan berita tersebut kepada masyarakat. Berlainan dengan media tradisional yang perlu menunggu pada malamnya atau keesokannya untuk mengumumkan berita tersebut. Begitu juga, pelbagai maklumat yang diperlukan boleh diperolehi secara pantas secara online. Kita tidak perlu lagi bersusah payah mengambil masa yang lama ke perpustakaan atau ke jabatan-jabatan untuk mencari secara manual maklumat tersebut. Cara yang pantas pastinya melalui internet.

     Elemen terakhir iaitu ketepatan melengkapkan potensi media baru sebagai medium yang paling efektif dalam menggalakan proses demokrasi. Kebanyakan laporan atau berita yang dipaparkan di media tradisional tidak menjelaskan keadaan yang sebenarnya kerana sebagaimana yang diketahui media tradisional dimiliki oleh golongan pemerintah sesebuah negara contohnya apa yang berlaku di Malaysia sendiri. Penguasaan kerajaan ke atas media massa menyekat kebebasan media untuk melaporkan berita yang tepat kerana terhalang oleh pelbagai undang-undang dan peraturan yang menjaga kepentingan pihak kerajaan. Sebaliknya, internet yang bebas dari penguasaan sesiapa dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang isu yang berlaku.

     Dalam konteks politik, pemaparan maklumat yang tepat ini adalah tanpa ‘bias’ kepada mana-mana parti politik. Sesuatu isu yang dipaparkan ‘bersih’ dari segala elemen ‘distortion’ dan rekaan kerana ia dilakukan oleh masyarakat yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Contohnya; persidangan parlimen yang membincangkan pelbagai isu yang berbangkit dimana perdebatan melibatkan pihak wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Jadi, dalam memaparkan topik perdebatan tersebut, media tradisional pastinya memberikan laporan yang menyebelahi pihak kerajaan kerana media dikawal oleh kerajaan dan secara tersirat memburukkan pihak pembangkang walaupun adakalanya dalam sesuatu isu tampak jelas adalah salah kerajaan namun diubah ‘jalan cerita’ demi menjaga kepentingan pihak kerajaan. Di sinilah internet akan memainkan peranannya dalam proses demokrasi apabila memaparkan isu perdebatan tersebut secara tepat dan tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak. Sepertimana yang dilaksanakan oleh Malaysiakini.com yang memaparkan isu-isu politik dari perspektif yang lebih adil, telus dan tepat tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik.

     Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa elemen interaktif dan keupayaan volume, kepantasan, akses dan ketepatan adalah merupakan elemen teras yang dimiliki oleh internet yang berpotensi dalam pemupukan proses demokrasi. Kesan-kesan positif daripada masyarakatan media baru dalam proses demokrasi ialah menjana masyarakat yang lebih berinformatif dan memahami, penglibatan dalam perbahasan tanpa batasan, penglibatan dalam institusi politik yang mana penglibatan melalui akses yang mudah dan senang, kuasa membuat keputusan tanpa memerlukan pergerakan fizikal serta ia akan mempertingkatkan akauntabiliti dan perwakilan ahli politik dalam berkhidmat kepada rakyat.

      Namun, dalam pada itu, terdapat beberapa masalah yang dikenalpasti dan boleh menjejaskan potensi internet dalam proses demokrasi. Terdapat jurang digital di dalam masyarakat kerana masih ada golongan masyarakat yang tidak mampu memiliki internet kerana faktor ekonomi. Mereka yang berpendapatan rendah dan menganggur tidak akan mampu untuk menggunakan internet. Masyarakatan internet walaupun dikatakan berpotensi dalam proses demokrasi namun perlulah menganalisis dan menyelesaikan masalah yang wujud agar media baru dapat berperanan dengan lebih baik dalam proses demokrasi. Masyarakat pula tidak seharusnya menyalahgunakan internet. Ia seharusnya digunakan sebagai medan untuk berkongsi maklumat, pandangan yang membina secara kolektif tentang pelbagai isu, dan bukannya ruang untuk menyebarkan fitnah yang boleh menggugat keamanan negara.

Monday, August 16, 2010

Agama dan Integriti

Teknologi Komunikasi dalam Bidang Pekerjaan dapat Menggugat Institusi Keagamaan dan Integriti Individu. Nilaikan Pernyataan Ini.

     Teknologi juga memain peranan penting dari segi hukum agama. Dari segi pemprosesan makanan atau bahan yang digunakan. Bagi umat Islam, terdapat peraturan dan panduan tertentu untuk memastikan bahawa makanan yang digunakan adalah bermanfaat bagi kesihatan dan memberi kebaikan. Isu penting yang harus diikuti oleh setiap orang muslim adalah memastikan bahawa makanan tersebut memiliki kejelasan dari segi status halal atau haram. Mengikut hukum Syariah, sesuatu bahan makanan dinyatakan memiliki status halal apabila makanan atau bahan-bahan yang terdapat didalamnya tidak mengandungi sebarang bahan atau bahagian daripada haiwan yang dinyatakan sebagai haram oleh hukum Syariah atau haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syariah.

     Dengan adanya teknologi, cara pemprosesan dalam membuat makanan adalah berbeza. Contoh teknologi Surimi yang menghasilkan suatu pekatan protein basah daripada isi ikan nyahtulang telah mengalami proses pembasuhan pencampuran sebatian pencegahan kerosakan bagi mengawal kualitinya semasa penyimpanan beku. Kebanyakan teknologi ini digunakan untuk pembuatan makanan segera seperti sosej, bebola ikan dan sebagainya. (Jabatan Perikanan 1997).

     Isu halal hebat diperkatakan dan banyak kajian telah dibuat mengenainya. Walaubagaimanapun, kebanyakan pihak masih ragu-ragu untuk menggunakan terutamanya bagi kaum muslimin. Kebanyakan mereka kurang menyedari bahawa terdapat bahan haram yang tersembunyi dalam sesetengah makanan yang dimakan oleh mereka. Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan Envo Green Sdn Bhd mengenai penyelidikan produk Porcine Rapid Test Kit atau dipanggil Kit Ujian Khinzir. Dengan adanya teknologi Kit Ujian khinzir atau Porcine Rapid Test Kit direka untuk mengesan kewujudan atau kehadiran khinzir dalam masa yang singkat.

     Selain itu, dengan adanya kecanggihan teknologi, seseorang cuba hendak menjatuhkan sesebuah syarikat dengan memburukkan pengeluaran syarikat tersebut. Contoh pengeluaran produk crocs. Telah timbul isu-isu yang mengatakan logo crocs itu menyerupai kalimah Allah. Penghinaan terhadap kalimah Allah ini sebenarnya bukan cerita baru. Sudah banyak kali kita dengar kalimah-kalimah Allah yang disalahgunakan oleh musuh-musuh Islam. Mereka memang dari dulu lagi menggunakan pelbagai taktik untuk menjatuhkan Islam sama ada secara kekerasan atau secara halus yang mungkin kita tak nampak. Berbalik kepada isu crocs ada kalimah Allah adakah itu hanya satu kebetulan atau permainan individu. Ia terpulang kepada individu itu untuk menilai sendiri. ( Blog Amir Said).

     Dengan adanya teknologi komunikasi, sesetengah syarikat telah menyalahgunakan teknologi itu untuk meniru atau mencetak sijil halal dengan keluaran sendiri tanpa pengetahuan JAKIM. Kejadian ini akan menimbulkan rasa was-was oleh pengguna untuk mengguna produk tersebut. Kejadian ini juga boleh berlaku jika ada dikalangan pengguna cuba untuk memboikot produk dengan memburuk-burukan nama syarikat tersebut. Selain itu juga, pesaing akan mengguna helah yang sama untuk menjatuhkan pesaingnya.

     Kesimpulannya, teknologi komunikasi dalam bidang pekerjaan dapat menggugat institusi keagamaan dan integriti individu. Walaubagaimanapun, isu penyalahgunaan teknologi komunikasi dalam bidang pekerjaan dapat diatasi jika syarikat tersebut bekerjasama untuk melaporkan sebarang perubahan ke atas nama dan alamat syarikat, kilang atau premis, jenama produk, bahan ramuan dan yang berkaitan dengannya, dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan untuk memudahkan tindakan sewajarnya dilakukan. Selain itu juga, kerjasama diantara pengguna akan meningkatkan lagi intergriti syarikat.

Tuesday, August 10, 2010

Hubungan Erat 'Stakeholder'

Kewujudan Teknologi Komunikasi dalam bidang pekerjaan dapat mengeratkan hubungan antara pekerja, pembekal, pelabur dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tehadap organisasi itu. Nilaikan pernyataan ini.






   “Kemajuan dan penggabungan antara rangkaian komputer dan teknologi komunikasi membolehkan beberapa kumpulan syarikat yang berjauhan (berada pada kedudukan geografi yang berbeza) antara satu sama lain, berkongsi kemampuan dan kelebihan secara bersama-sama dengan mewujudkan satu organisasi maya dan pada masa yang sama mendapat kelebihan persaingan yang kuat”





[Page 45, The Virtual Workplace].







    Penggunaan komputer pada masa kini telah menjadi seperti sebahagian dari hidup kita. Perjalanan dan tugas seharian menjadi semakin mudah dan tanpa disedari kita semakin bergantung kepada kemudahan yang kita panggil teknologi ini. Teknologi yang dimaksudkan ini adalah internet. Melalui rangkaian ini, pengguna boleh berkongsi maklumat menggunakan perisian-perisian serta fail tertentu.

   Di dalam sesebuah organisasi, perkongsian , penyalinan serta penghantaran perisian serta fail dapat dilaksanakan secara talian. Pengguna juga boleh berkongsi data, perisian atau maklumat semasa yang berlaku di dalam organisasi pada masa yang serentak contohnya tiga orang pekerja di dalam suatu jabatan, bekerja dengan menggunakan hamparan helaian yang sama. Keupayaan ini khususnya berguna di dalam kes pangkalan data, yang perlu dicapai dan ditukar oleh beberapa orang di dalam satu organisasi. Dengan adanya talian internet ini, hubungan antara pekerja dapat dieratkan dan kerjasama dapat dipertingkatkan.

     Selain daripada itu, kelebihan teknologi internet ialah ia membolehkan para pengguna rangkaian berhubung serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Pengguna juga boleh bertukar-tukar mesej atau pesanan dengan menggunakan komputer melalui proses yang dikenali sebagai mel eletronik serta perisian untuk berbincang mengenai tugas mereka. Rangkaian internet turut membolehkan kakitangan sesebuah pejabat atau tempat kerja berkomunikasi serta ia mengeratkan hubungan pekerja di antara satu sama lain. Pekerja dari jabatan yang berbeza-beza boleh bercerita atau berkongsi masalah berkaitan kerja dengan adanya e-mel. Mereka boleh bertukar pendapat dan berbincang dalam menyelesaikan masalah mereka serta menyebarkan maklumat semasa mengenai aktiviti semasa syarikat . Malah, sistem penghantaran maklumat tradisional seperti memo serta dokumen yang mana kelazimannya merupakan budaya serta kaedah kerja di dalam sesebuah pejabat atau syarikat sudah menjadi tidak relevan serta berguna lagi setelah kemunculan internet. Sebagai contoh, sebuah kilang memproses bahan perubatan untuk hospital yang terletak di Perak telah menggunakan kemudahan internet untuk mengeratkan hubungan antara pekerjanya. Pemilik kilang tersebut 
telah mencipta satu perisian peribadi yang menggunakan nama syarikat itu sendiri. Perisian tersebut digunakan untuk berkongsi maklumat semasa yang berlaku dalam kilang tersebut. Dengan adanya perisian tersebut, semua pekerja di dalam syarikat boleh berinteraksi dan berkenalan antara satu dengan yang lain. Perisian itu juga dicipta untuk membolehkan pekerja meluahkan komen atau ketidakpuasan hati mereka tentang apa-apa sahaja isu dalam syarikat tersebut. Dalam masa yang sama, data mengenai pekerja baru akan dimasukkan ke dalam perisian tersebut bagi membolehkan pekerja lain mengenali pekerja baru tersebut. Maka, dengan adanya perisian seperti ini, pekerja yang berbeza jabatan juga boleh berkenalan antara satu sama lain serta membina hubungan yang baik antara mereka.

    
Begitu juga dengan tanggungjawab dan beban kerja di pejabat, di mana maklumat-maklumat boleh dihantar dengan cepat dan pantas bagi mengelakkan berlakunya kerugian atau sebarang kebocoran maklumat. Mel elektronik atau ringkasnya e-mel merupakan kemudahan Internet yang paling giat digunakan. Dengan e-mel pekerja boleh menghantar pesanan kepada pekerja lain yang mempunyai capaian Internet. Teknologi komunikasi ini telah memudahkan pekerja berhubung di antara satu sama lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian seperti rangkaian setempat dan Intranet.


    Dengan adanya Intranet, proses komunikasi menjadi lebih cekap dan hubungan antara pekerja dapat dieratkan. Maklumat boleh dikongsi dengan mudah dan sistem kerja dalam organisasi lebih cemerlang. Sistem-sistem lain seperti mel elektronik dan mel suara membolehkan maklumat disimpan, diagihkan dan dicapai semula oleh semua pekerja di dalam organisasi. Sistem-sistem persidangan video 
pula membolehkan sekumpulan pekerja dari lokasi yang berbeza (khususnya syarikat yang punyai banyak cawangan) untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai hal ehwal syarikat. Melalui persidangan video, syarikat dapat menjimatkan kos dan perbincangan menjadi lebih mudah. 
Tanpa persidangan video ini, pekerja yang berada dalam lokasi yang berbeza terpaksa meluangkan banyak masa dan kos untuk berbincang tentang kerja.