Sejauh manakah aplikasi dalam talian (Online) untuk mencari pekerjaan seperti Jobstreet misalnya dapat mengurangkan kadar pengangguran?
Pada abad ke-21 ini, perkembangan pesat kemajuan teknologi komunikasi semakin mendapat tempat di hati masyarakat, jika dibandingkan dengan zaman dahulu semasa komputer mula diperkenalkan, terdapat segolongan masyarakat yang tidak mahu menerima perubahan teknologi untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam bidang pekerjaan. Namun kini, penggunaan komputer semakin hebat diaplikasikan malah pengetahuan terhadap teknologi semakin dipertingkatkan selaras dengan pesatnya teknologi terkini. Kepesatan teknologi telah menyebabkan peluang pekerjaan kian bertambah dan dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan negara. Oleh kerana dunia telah berubah maka kehidupan manusia juga turut berubah. Dengan adanya teknologi komunikasi dan informasi yang boleh didapati daripada hujung jari sahaja, kita mampu untuk mendapatkan segala maklumat yang berfaedah dan ada juga maklumat yang tidak bermanfaat. Perkara tersebut bergantung kepada individu tersebut bagai manakah cara ia mengendalikan teknologi komunikasi yang ada. Salah satu perkara yang boleh dimanfaatkan daripada kewujudan teknologi komunikasi seperti internet misalnya adalah dengan mencari peluang pekerjaan.
Bagi graduan yang telah menamatkan pengajian, kemudahan penggunaan teknologi komunikasi dalam talian (online) seperti internet telah menyediakan pelbagai pilihan ataupun cara untuk memudahkan mereka dalam mencari dan memohon pekerjaan. Sebagai contoh, terdapat berbagai agensi pekerjaan yang dapat membantu graduan ataupun masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan. Laman sesawang yang telah dibangunkan oleh agensi-agensi pekerjaan dan pihak-pihak tertentu untuk mengiklankan jawatan kosong serta menyediakan permohonan kerja secara online seperti www.jobstreet.com.my, www.spa.gov.my, www.mudah.my, www.allstaff.com dan banyak lagi telah memudahkan urusan bagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan pencari kerja. Tetapi ia bergantung kepada kita bagai manakah caranya kita mengakses kepada sesuatu pekerjaan. Begitu juga dengan portal kerajaan yang kini bersifat maya untuk rakyat mendapatkan peluang pekerjaan di jabatan kerajaan. Portal tersebut adalah spa8.gov.com.my. Dahulunya jabatan yang sinonim dengan peluang pekerjaan adalah Jabatan Buruh. Mereka menjadi pusat rujukan kepada rakyat untuk mendapatkan pekerjaan. Namun fungsi tersebut telah dikurangkan dengan kewujudan teknologi seperti internet. Masyarakat dapat mengakses terus kepada kerajaan tanpa perlu bersusah payah untuk pergi ke pejabat buruh lagi.
Caranya ialah individu yang ingin mencari pekerjaan hanya perlu menaip resume dan hantar kepada organisasi yang dipilih dan dirasakan bersesuaian dengan kelayakan akademik, pengalaman yang ada dan memenuhi syarat yang diminta oleh organisasi tersebut. Kemudian mereka hanya perlu hantarkan e-mail kepada syarikat tersebut atau menelefon untuk mendapat pengesahan dari pihak organisasi tersebut. Kemudian sebarang tindakbalas dan jawapan akan diberikan melalui e-mail. Benarlah apa yang dikatakan oleh Marshall McLuhan di dalam teorinya “Global Village” iaitu ”Teknologi membantu memudahkan kehidupan manusia dan juga dapat menjimatkan masa. Menyebabkan manusia mempunyai masa terluang.”
Namun begitu, walaupun kemudahan yang selaras dengan perkembangan teknologi telah disediakan, kadar pengangguran masih terus meningkat dan tidak diatasi. Hal ini berpunca daripada sikap pengganggur yang tidak mengemaskini data peribadi dan kemahiran secara online tersebut sekaligus menyebabkan mereka hilang peluang pekerjaan. Selain daripada itu, bagi graduan yang tinggal di kawasan pedalaman serta tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet, mereka tidak berpeluang untuk menikmati prasarana teknologi komunikasi ini dan masalah pengangguran juga tidak akan dapat diselesaikan. Pernahkah kita terfikir mengapa masalah ini terus berlanjutan? Siapakah yang harus dipersalahkan? Wajarkah tanggungjawab golongan pemerintah terus dipertikaikan kerana tidak menyediakan peluang pekerjaan sementelahan golongan penganggur itu sendiri yang tidak mahu berusaha untuk mengubah kehidupan mereka?
Menurut statistik jabatan Perangkaan Malaysia kadar pengangguran yang dicatat pada tahun 2010 adalah seperti berikut:
Guna Tenaga | 2010 April | 2010 Mei |
Jumlah Tenaga Buruh ('000) | 11,848.2 | 11,566.8 |
Bekerja ('000) | 11,473.5 | 11,181.0 |
Menganggur ('000) | 374.7 | 385.8 |
Kadar Pengangguran (% daripada tenaga buruh) | 3.2 | 3.3 |
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (%) (% daripada populasi umur bekerja 15-64 tahun) | 63.7 | 62.2 |
Kemudahan teknologi komunikasi yang baru seperti penggunaan mesin berteknologi canggih telah memudahkan urusan kerja terutama dalam bidang perindustrian. Volum pengeluaran barang siap dapat ditingkatkan dan pengkhususan kerja juga dapat dilaksanakan. Namun, kesan daripada itu, secara tidak kita sedari telah mengehadkan kemahiran seseorang pekerja dalam tugasnya. Sebagai contoh, jika dahulu kerja-kerja pemasangan kereta mungkin dilakukan oleh seorang pekerja dan dia akan mengetahui segala selok-belok tentang pemasangan kereta tersebut. Hal ini sekaligus telah memberi pengalaman dan kemahiran yang amat berharga kepada pekerja tersebut. Akan tetapi dengan adanya mesin ataupun robot yang dapat menggantikan kerja tersebut, pekerja tadi mungkin hanya perlu memasang bahagian tertentu sahaja pada kereta tersebut. Dalam erti kata yang lain, konsep multitasking yang telah diterapkan semakin terhakis. Malah lebih teruk lagi, dengan wujudnya mesin yang menggantikan tenaga buruh, terdapat sebilangan besar pekerja dalam bidang industi terpaksa diberhentikan kerja untuk menampung kos pengeluaran, terutamanya semasa krisis kegawatan ekonomi. Hal ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada pengangguran semula.
Kesimpulannya, tahap pengangguran akan semakin meningkat walaupun pelbagai kemudahan teknologi disediakan dan walau sehebat serta segigih mana pun usaha pihak pemerintah untuk membantu golongan ini jika mentaliti mereka yang mengganggur itu masih tidak bebas dan terkongkong dengan pemikiran kolot. Isu pengangguran juga tidak mungkin dapat diatasi sekiranya masyarakat terus memperlekehkan dan tidak berfikiran terbuka dalam menerima sesuatu teknologi komunikasi yang dibawakan untuk kemudahan dan kemajuan hidup masayarakat itu sendiri.