Monday, September 20, 2010

Penyalahgunaan Teknologi Komunikasi Di Malaysia

Sejauhmanakah keberkesanan sistem perundangan di Malaysia untuk menangani isu penyalahgunaan teknologi komunikasi ini?

        Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (samaada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara penduduk mereka.
        Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan peranan yang penting dalam media untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen.
        Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Teknologi Internet memungkinkan seseorang menyalahgunakan maklumat dan berbagai jenis perkhidmatan yang disediakan. Salah satu penyalahgunaan teknologi Internet masakini ialah jenayah siber.
        Di Malaysia contohnya, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat- maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai. Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, makalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia, infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat.
        Disebabkan penguatkuasaan undang-undang ini, media massa tidak mampu berfungsi sebagai penyalur maklumat yang tepat kepada masyarakat. Hal ini kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tidak telus. Setiap artikel yang akan diterbitkan harus menjalani beberapa tapisan supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak akan menimbulkan perkara-perkara yang negatif tentang kerajaan. Situasi ini menunjukkan bahawa wartawan masih terikat dengan undang-undang dan dikawal daripada memberi maklumat yang sebenar kepada masyarakat. Jika terdapat wartawan yang melanggar batasan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).
        Internet dilihat sebagai media alternatif terbaik untuk medium demokrasi yang lebih terbuka. Kerajaan telah menetapkan bahawa tiada penapisan internet yang diperkenalkan dalam Rang Jaminan. Namun begitu, undang-undang tetap dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang dilihat mampu mengancam Negara menerusii penggunaan internet menuurut interpretasi pihak kerajaan. Lihat saja, apa yang terjadi kepada blog "Malaysia Today" yang ditutup oleh kerajaan dan kepada pemliknya sendiri iaitu Raja Petra.
Cuma penguatkuasaan undang-undang ke atas internet tidak berapa berkesan kerana sifat internet itu sendiri iaitu bersifat virtual, ketanpanamaan, terbuka dan luas serta susah untuk mengesan individu yang menggunakan internet. Faktor-faktor inilah yang menjadikan internet sebagai ruang demokrasi yang lebih baik di kalangan rakyat berbanding media massa.
       Malaysia telah telah meletakkan pada asas yang kukuh pembangunan ICT dengan menyediakan undang-undang. Sebagai permulaan sebanyak lima undang-undang telah digubal dan diluluskan, seperti berikut:
(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini merupakan sendi kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT bagi negara ini. Dalam akta ini disenaraikan 10 objektif dasar nasional bagi industry komunikasi dan multimedia (Sila rujuk Akta untuk perinciannya, atau buku Mengenali Undang-undang Media dan Siber).
(2) Akta ini juga meletakkan janji Kerajaan mengenai tiada tapisan dalam Internet di bawah Seksyen 3(3)
Berikutan dengan kelulusan Akta ini, sebuah kementerian khas diwujudkan yang memasukkan elemen komunikasi dan multimedia di dalamnya. Kementerian ini pada mulanya dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. (Kini komponen komunikasi di keluarkan dan digabungkan dengan Kementerian Penerangan, bersama dengan komponen Kebudayaan).
(3) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Akta ini membolehkan ditubuh sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambilalih kuasa pelesenan terhadap spectrum penyiaran dan telekomunikasi. Urusan pos juga kini diletakkan di bawah suruhanjaya ini. Apabila ditubuhkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia diletakkan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Kini ia diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Beberapa pihak pernah menyarankan supaya komponen komunikasi diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Saya sendiri ada menulis dalam Berita Harian mengenai perkara ini (Jika ia dapat disalin, saya akan pindahkan artikel itu dalam blog ini).
(4) Akta Tandatangan Digital 1997.
Akta ini digubal untuk membolehkan diterima secara sah segala urusan melalui online termasuk penggunaan tandatangan secara digital. Tujuan utamanya ialah untuk melicinkan dagangan secara elektronik, sebagai usaha meningkatkan e-commerce atau e-dagang. Kelulusan undang-undang ini perlu kerana pengesahan dari segi undang-undang adalah sukar untuk melaksanakan dokumentasi secara online.
(5) Akta Jenayah Komputer 1997.
Tujuan utama akta ini ialah untuk melengkapkan undang-undang jenayah khususnya berkaitan dengan jenayah yang dilakukan melalui jaringan komputer. Akta ini memperuntukkan jenis-jenis jenayah dan hukumannya.
(6) Akta Teleperubatan 1997
Akta ini membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Ia memperuntukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal perubatan. Akta ini membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.
(7) Akta Hak Cipta (Pindaan).
Akta ini memasukkan unsur-unsur yang berkaitan dengan hakcipta dalam Akta induk. Ini bermakna apa-apa hasil karya yang dilakukan di dalam dan melalui internet adalah terlindung di bawah Akta Hakcipta.

        Kesimpulannya, penguatkuasaan undang-undang ke atas teknologi komunikasi tidak seharusnya berlaku kerana ia jelas bertujuan untuk menjaga kepentingan pihak kerajaan semata-mata. Undang-undang ini menyekat kebebasan teknologi komunikasi dan mencabul hak asasi manusia. Media seharusnya berfungsi secara telus untuk semua bukan pihak tertentu sahaja. Namun dalam pada itu, undang-undang masih perlu dikuatkuasakan tetapi ia bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang telus tetapi digunakan untuk menghalang pengamal media terutamanya wartawan serta masyarakat keseluruhannya daripada menyalahgunakan media untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu.

Monday, September 13, 2010

Kuasa Teknologi Komunikasi

Adakah benar sistem teknologi komunikasi dapat mengubah sistem-sistem masyarakat ataupun sistem politik itu sendiri yang berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi?
            Teknologi komunikasi perupakan pemangkin sesebuah negara dan masyarakatnya. Tanpanya, sesebuah negara dan masyarakatnya tidak akan maju. Seperti yang kita ketahui, internet dan sistem pesanan ringkas (SMS) merupakan alat yang penting untuk berhubung antara satu dengan yang lain. Selain itu, teknologi komunakasi jugalah yang membantu kita dalam sistem-sistem politik dan ekonomi sesebuah negara. Ini disebabkan oleh, teknologi komunikasi dan sistem-sistem sesebuah negara saling berkaitan.
            Dari satu sudut lain, kita dapat melihat bahawa terdapat unsur kebaikan terhadap proses politik. Sejauh manakah kebaikan tersebut dalam pemerintahan yang demokrasi? Hal ini dibuktikan apabila peranan teknologi komunikasi seperti internet mampu menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Penerimaan maklumat yang meluas membolehkan masyarakat mendapat dan mengetahui segala isu politik yang berlaku dalam negara. Bahkan, masyarakat boleh membincangkan serta meluahkan hal ehwal politik dan ketidakpuasan hati dengan kerajaan melalui portal-portal yang diwujudkan. Persoalannya, apakah hasil dari luahan tersebut?
            Perkara ini telah ditunjukan dengan jelasnya apabila internet menjadi sumber untuk mendapatkan maklumat dengan mudah, cepat dan tepat. Hasil luahan, perdebatan, kritikan dan sokongan menerusi teknologi komunakasi, secara tidaka langsung telah wujudnya propaganda dan pelbgai bentuk pemanipulasian yang dikatakan oleh pihak pemerintah apabila BN telah kalah dengan PKR. Ini dibuktikan dengan jelasnya apabila lima buah negeri telah jatuh ke tangan pihak pembangkang.
            Dalam era globalisasi yang mengejar pembangunan, teknologi komunikasi merupakan medium utama dan memainkan peranan penting untuk mengubah sistem masyarakat. Situasi ini ditunjukan apabila pihak bukan kerajaan (NGO) menggunakan internet sebagai alat utama untuk mengkritik dan mempengaruhi pendapat umum. Bukan sahaja pihak NGO, tetapi kecanggihan teknologi komunikasi juga telah mengalu-alukan penglibatan masyarakat itu dengan sendirinya. Hal ini dapt memuaskan masyarakat dalam proses demokrasi itu sendiri. Namun, sejauh manakah keberkesanannya?
            Perkara ini dipertikaikan apabila sistem politik itu sendiri yang berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi. Hal ini terjadi apabila setiap isu yang telah didebatkan oleh masyarakt tidak pernah dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Ini kerana, banyak isu yang telah dibincangkan dalam internet mempertikaikan dan mengkritik pihak kerajaan dimana, isu-isu sebegitu dianggap fitnah dan dipercayai ditonjolkan dari hasil minoriti masyarakat negara sahaja. Isu-isu yang dianggap fitnah dan dikatakan mengancam kestabilan dan serta keselamatan negara melalui teknologi komunikasi seperti blog, forum dan lain-lain cara boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan lain-lain. Disini kita dapat lihat bahawa sistem politik itu sendiri telah berkuasa ke atas penggunaan teknologi komunikasi dimana data-data yang ingin dipaparkan mestilah tidak menggugat keselamatan dan kententeraman negara. Contohnya, Malaysian Today yang telah disekat dari mengakses telah dibenarkan semula apabila banyak pihak mengatakan ianya salah sebagai melanggar undang-undang ketiadaan penapisan internet. Ini menyebabkan Malaysian Today boleh diakses dan data di dalamnya telah dibataskan.
            Kesimpulannya, teknologi komunikasi sememangnya boleh mengubah sistem masyarakat itu sendiri dan meluaskan pandangan mereka. Akan tetapi, keberkesanannya masih terhad dengan kawalan pihak kerajaan.

Monday, September 6, 2010

Tanggungjawab Sosial Media Massa Dalam Konteks Demokrasi

Adakah media massa di Malaysia hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dalam konteks demokrasi?
Perkembangan media massa arus perdana di Malaysia amatlah menyedihkan pada masa sekarang untuk diterima. Ini kerana, media massa sekarang telah menyimpang jauh dari matlamatnya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Seperti yang kita ketahui, media massa berfungsi sebagai “watchdog” iaitu pemerhati proses politik yang berkecuali. Ini bermaksud, media massa perlu menjaga hak-hak dan kepentingan masyarakat supaya terjaga dan dilindungi. Akan tetapi, media massa sekarang telah banyak dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Persoalannya, mungkinkah media massa telah mengabaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan berperanan kepada pihak lain?
Jika dilihat perkembangan media massa Malaysia, ia telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat. Ini adalah kerana, media arus perdana di Malaysia telah dikawal oleh pihak pemerintah serta orang-orang yang berkepentingan. Perkara ini dilihat apabila media arus perdana di Malaysia banyak menyiarkan berita-berita yang positif yang telah dijalankan oleh pihak pemerintah. Berita-berita mengenai pihak pembangkang secara keseluruhannya banyak disiarkan mengenai isu-isu yang negatif dalam media massa arus perdana di Malaysia. Selain itu, media massa kini lebih banyak memaparkan berita-berita yang bersifat komersial dan menyajikan penonton atau pembaca dengan berita-berita yang dapat menarik banyak perhatian bagi mengaut keuntungan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab sosial masih lagi dijalankan oleh media massa arus perdana di Malaysia terutamanya pada waktu yang hampir dengan pilihanraya. Akan tetapi, tanggungjawab yang ditonjolkan oleh media arus perdana di Malaysia lebih cenderung kepada pihak kerajaan. Ini menunjukan bahawa, media massa Malaysia lebih cenderung kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Hakikatnya, inilah yang telah terjadi kepada media massa yang telah dikelilingi dengan pelbagai pengaruh bagi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Oleh yang demikian, sejauh manakah demokrasi seandainya undang-undang menyekat kebebasan media? Disini dapat kita lihat bahawa, tanggungjawab sosial media massa adalah terhad kerana sukar untuk melaksanakannya. Ia disebabkan oleh, kebebasan menyuarakan suara rakyat adalah terhad di mana media massa tertakluk kepada undang-undang. Selain itu, media massa juga telah dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dengan menyebarkan ideologi-ideologi dan mengadakan propaganda untuk menarik perhatian masyarakat demi kepentingan sendiri kerana undang-undang media yang telah digubal oleh kerajaan juga menyebabkan tanggungjawab sosial media massa dikurangkan. Ini adalah kerana, suara rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan di tapis penyiarannya dan kebanyakannya tidak disiarkan. Perkara tersebut terjadi kerana undang-undang media massa tidak boleh menyiarkan perkara yang menggamit sensitiviti mana-mana pihak.
Di manakah yang dikatakan demokrasi atau masih adakah demokrasi seandainya pihak yang berlainan pendapat langsung tidak mendapat tempat dalam media arus perdana? demokrasi dalam konteks tanggungjawab sosial media massa telah tergugat kerana kewartawanan sendiri tidak berlaku adil dan seimbang dalam menyebarkan maklumat. Ini adalah kerana, kewartanan dalam arus perdana telah berpihak kepada parti pemerintah sahaja. Selain itu, media massa juga seperti telah "mencuri" hak rakyat dalam menyuarakan pendapat mereka terutamanya di kawasan parti pembangkang. Disini dapat kita lihat bahawa kurangnya liputan daripada media massa untuk mempamerkan aktiviti tanggungjawab sosial yang dijalankan oleh parti pembangkang.
Secara keseluruhannya, wujudkan demokrasi dalam konteks tanggungjawab sosial media massa apabila kebebasan bersuara dikawal dan disekat oleh undang-undang.