Tuesday, August 24, 2010

Internet dan Demokrasi

Nilaikan secara kritis kaitan antara internet dan demokrasi dalam pelbagai konteks.

     Teknologi komunikasi adalah sistem elektronik yang digunakan untuk berkomunikasi antara individu atau sekumpulan manusia. Teknologi komunikasi memudahkan komunikasi antara individu atau sekumpulan manusia yang tidak bertemu secara fizikal di lokasi yang sama. Contoh teknologi komunikasi ialah telefon, teleks, faks, radio, televisyen, internet dan lain-lain lagi.

     Demokrasi ialah satu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah di tentukan oleh rakyat. Demokrasi boleh disama ertikan dengan pemerintahan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang di gubal oleh rakyat atau wakil rakyat yang di pilih oleh negara. Sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi juga dipanggil sebagai negara yang demokratik. Maksud demokrasi ini dipetik daripada perkataan Yunani iaitu bermaksud “di perintah oleh rakyat”. Antara yang ada dalam sesebuah negara demokrasi ialah perlembagaan, pilihanraya, hak mengundi, hak golongan minoriti, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan akhbar dan media, kebebasan berpersatuan serta rakyat memiliki hak yang sama dalam undang-undang. Masyarakat keseluruhannya juga akan mendapat manfaat yang seimbang dalam konteks sosial, ekonomi dan konteks-konteks yang lain.

     Di sebalik kegagalan media massa beroperasi di bawah iklim demokrasi terus hangat diperkatakan, internet muncul sebagai medium dan platform yang paling sesuai untuk memupuk dan memperluaskan proses demokrasi disebabkan oleh kebolehan interaktif dan keupayaan volume, kepantasan mengakses dan ketepatan yang dimiliki oleh internet itu sendiri. Internet menggalakan masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik dan seterusnya memupuk proses demokrasi. Elemen-elemen inilah yang menjadikan internet sebagai medium terbaik untuk amalan proses demokrasi.

     Elemen pertama internet iaitu kebolehan interaktif dan keupayaan volume telah membenarkan penglibatan aktif masyarakat di dalam media. Dalam konteks hubungan dengan proses demokrasi, internet memberikan masyarakat peluang untuk memberi atau berkongsi idea serta pandangan tentang sesuatu isu yang berlaku. Selain itu juga, masyarakat boleh meluahkan sebarang rasa tidak puas hati atau mengkritik sesuatu perkara yang tidak dipersetujui. Di internet, terdapat pelbagai laman web yang membenarkan masyarakat untuk menghantar pandangan tentang pelbagai isu termasuklah politik. Antara laman web tersebut ialah Malaysiakini.com, bincang.net, amnet dan sebagainya. Masyarakat juga boleh bersembang secara bebas dengan masyarakat-masyarakat lain. Ini boleh dilakukan di dalam forum mahupun ‘chatting’. Contohnya; di dalam blog ‘bincang.net’ terdapat forum perbincangan yang membolehkan masyarakat untuk terlibat dalam perbincangan politik dengan masyarakat-masyarakat lain tentang apa-apa sahaja isu semasa. Sebagai contoh, dalam perbicaraan kes berprofil tinggi seperti Altantuya, media tradisonal dilihat gagal untuk menyelongkar dan mendedahkan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku. Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh media tradisional dalam pemaparan laporan kes tersebut. Jadi, ketika inilah internet memainkan peranan yang demokratik dengan membenarkan rakyat untuk berdebat tentang isu tersebut secara terbuka.

    Menerusi internet, masyarakat dengan bebas boleh memberikan pandangan tentang isu tersebut termasuklah memdedahkan perkara yang disembunyikan sehingga akhirnya kita mendapat gambaran yang jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku. Penglibatan yang interaktif ini adalah didasarkan keluasan ruang di dalam internet. Terdapat pelbagai medium di dalam internet yang membolehkan masyarakat menggunakan kemudahan internet secara maksimum dalam proses demokrasi. Contohnya; internet membolehkan kita mencipta weblog peribadi, terlibat dalam forum, ‘video conferencing’, kemudahan ‘Internet Relay Chat’, ‘newsgroup’, email dan lain-lain lagi. Melalui medium-medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik. Seterusnya, internet berperanan dalam proses demokrasi kerana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja. Menerusi internet, kita boleh mendapatkan apa saja maklumat yang kita ingini tanpa sekatan dari sesiapa.

     Dari isu politik, pendidikan, ekonomi, sosial sehinggalah isu budaya. Semuanya boleh didapati di internet. Dalam konteks memupuk proses demokrasi, internet menawarkan pelbagai informasi tentang politik luar negara umumnya dan di dalam negara khasnya. Dari informasi yang telah lama berlalu sehinggalah baru berlaku semalam. Kadang kala kita terlepas pandang isu-isu politik yang dipaparkan di dalam media tradisional contohnya di akhbar dan televisyen. Jadi, dalam keadaan ini kita menggunakan internet untuk mencari isu-isu tersebut. Begitu juga, terdapat isu-isu yang berlaku tetapi tidak dipaparkan di dalam media tradisional. Dalam situasi ini juga, kita boleh menggunakan internet untuk mengakses isu-isu tersebut. Dalam situasi yang lain, kita ingin mengikuti perkembangan sesuatu isu dan pastinya internet membenarkan kita untuk berbuat sedemikian. Contohnya; kita ingin mengetahui perkembangan terkini pilihanraya umum. Siapakah calon-calon, strategi yang diambil oleh calon, propaganda dan sebagainya. Menerusi internet, kita akan dapat semua maklumat tersebut. Internet juga bukan sahaja membenarkan kita mengakses informasi dalam negara tetapi juga negara-negara lain.

      Mendokong konsep ‘dunia tanpa sempadan’ yang menghubungkan jutaan manusia di seluruh dunia dalam rangkaian elektronik global, internet menyalurkan pelbagai maklumat dan berita dalam pelbagai lapangan. Masyarakat boleh mendapatkan maklumat tentang situasi politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan England sebagai contoh. Begitu juga, masyarakat boleh mengakses informasi tentang konflik dan pergolakan yang berlaku di negara-negara yang diancam peperangan seperti Palestin, Iraq, Pakistan dan lain-lain. Selain itu, menerusi e-kerajaan iaitu portal elektronik kerajaan ia membenarkan kita untuk mengakses pelbagai maklumat berkaitan kerajaan antaranya melibatkan maklumat ekonomi, pendidikan, hal ehwal masyarakat dan politik pastinya.

     Selain itu, internet adalah medium yang paling berpotensi dalam memupuk proses demokrasi kerana elemen kepantasan yang dimiliki. Sebagaimana yang diketahui, internet adalah jaringan komunikasi maya yang menyalurkan pelbagai maklumat dengan pantas. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila internet sentiasa mendahului media tradisional dalam memaparkan sesuatu isu. Contoh yang berlaku adalah apabila Perdana Menteri – Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan rasminya membubarkan parlimen baru-baru ini yang menandakan demam pilihanraya bermula. Internet tidak memerlukan masa yang lama untuk menyebarkan berita tersebut kepada masyarakat. Berlainan dengan media tradisional yang perlu menunggu pada malamnya atau keesokannya untuk mengumumkan berita tersebut. Begitu juga, pelbagai maklumat yang diperlukan boleh diperolehi secara pantas secara online. Kita tidak perlu lagi bersusah payah mengambil masa yang lama ke perpustakaan atau ke jabatan-jabatan untuk mencari secara manual maklumat tersebut. Cara yang pantas pastinya melalui internet.

     Elemen terakhir iaitu ketepatan melengkapkan potensi media baru sebagai medium yang paling efektif dalam menggalakan proses demokrasi. Kebanyakan laporan atau berita yang dipaparkan di media tradisional tidak menjelaskan keadaan yang sebenarnya kerana sebagaimana yang diketahui media tradisional dimiliki oleh golongan pemerintah sesebuah negara contohnya apa yang berlaku di Malaysia sendiri. Penguasaan kerajaan ke atas media massa menyekat kebebasan media untuk melaporkan berita yang tepat kerana terhalang oleh pelbagai undang-undang dan peraturan yang menjaga kepentingan pihak kerajaan. Sebaliknya, internet yang bebas dari penguasaan sesiapa dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang isu yang berlaku.

     Dalam konteks politik, pemaparan maklumat yang tepat ini adalah tanpa ‘bias’ kepada mana-mana parti politik. Sesuatu isu yang dipaparkan ‘bersih’ dari segala elemen ‘distortion’ dan rekaan kerana ia dilakukan oleh masyarakat yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Contohnya; persidangan parlimen yang membincangkan pelbagai isu yang berbangkit dimana perdebatan melibatkan pihak wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Jadi, dalam memaparkan topik perdebatan tersebut, media tradisional pastinya memberikan laporan yang menyebelahi pihak kerajaan kerana media dikawal oleh kerajaan dan secara tersirat memburukkan pihak pembangkang walaupun adakalanya dalam sesuatu isu tampak jelas adalah salah kerajaan namun diubah ‘jalan cerita’ demi menjaga kepentingan pihak kerajaan. Di sinilah internet akan memainkan peranannya dalam proses demokrasi apabila memaparkan isu perdebatan tersebut secara tepat dan tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak. Sepertimana yang dilaksanakan oleh Malaysiakini.com yang memaparkan isu-isu politik dari perspektif yang lebih adil, telus dan tepat tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik.

     Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa elemen interaktif dan keupayaan volume, kepantasan, akses dan ketepatan adalah merupakan elemen teras yang dimiliki oleh internet yang berpotensi dalam pemupukan proses demokrasi. Kesan-kesan positif daripada masyarakatan media baru dalam proses demokrasi ialah menjana masyarakat yang lebih berinformatif dan memahami, penglibatan dalam perbahasan tanpa batasan, penglibatan dalam institusi politik yang mana penglibatan melalui akses yang mudah dan senang, kuasa membuat keputusan tanpa memerlukan pergerakan fizikal serta ia akan mempertingkatkan akauntabiliti dan perwakilan ahli politik dalam berkhidmat kepada rakyat.

      Namun, dalam pada itu, terdapat beberapa masalah yang dikenalpasti dan boleh menjejaskan potensi internet dalam proses demokrasi. Terdapat jurang digital di dalam masyarakat kerana masih ada golongan masyarakat yang tidak mampu memiliki internet kerana faktor ekonomi. Mereka yang berpendapatan rendah dan menganggur tidak akan mampu untuk menggunakan internet. Masyarakatan internet walaupun dikatakan berpotensi dalam proses demokrasi namun perlulah menganalisis dan menyelesaikan masalah yang wujud agar media baru dapat berperanan dengan lebih baik dalam proses demokrasi. Masyarakat pula tidak seharusnya menyalahgunakan internet. Ia seharusnya digunakan sebagai medan untuk berkongsi maklumat, pandangan yang membina secara kolektif tentang pelbagai isu, dan bukannya ruang untuk menyebarkan fitnah yang boleh menggugat keamanan negara.

No comments:

Post a Comment