Sunday, August 1, 2010

Produktiviti dan Kualiti Kerja





Sejauh manakah teknologi komunikasi dapat mengembangkan produktiviti dan menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan kualiti kerja dalam pelbagai bidang pekerjaan. Bincangkan.

            Pengguna masa kini mempunyai kesedaran yang lebih matang terhadap nilai produk dan perkhidmatan yang mereka ingin dapatkan. Mereka menuntut kualiti produk dan perkhidmatan yang terbaik berbanding dengan harga yang mereka bayar. Mereka juga mempunyai alternatif yang pelbagai untuk memilih pembekal yang dapat menawarkan produk dengan nilai yang terbaik kepada mereka. Justeru itu, adalah menjadi cabaran kepada setiap organisasi sama ada awam ataupun swasta yang menawarkan produk atau perkhidmatan supaya lebih komited terhadap isu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan untuk disediakan kepada pelanggan.

            Produktiviti disifatkan sebagai nisbah output yang dikeluarkan dibandingkan dengan input (sumber) yang digunakan dalam proses pengeluaran produk atau perkhidmatan. Input dalam sistem pengeluaran terdiri daripada :tanah,wang,tenaga manusia,mesin,bahan dan masa. Organisasi yang produktif berupaya bersaing pada peringkat global. Sebagai contoh; organisasi yang menggunakan teknologi moden dan terkini dapat meningkat produktiviti kerana ia mampu mengeluarkan produk dan perkhidmatan baru dengan harga yang lebih kompetitif.

            Kualiti produk atau perkhidmatan boleh diukur dari segi kepuasan pengguna atau pelanggan. Ia merangkumi aspek daya tarikan produk, pembungkusan, layanan, komunikasi dan perkhidmatan sokongan. Kualiti dan produktiviti adalah faktor penting yang mampu memimpin daya saing dan daya maju sesebuah organisasi.

            Faktor utama yang mempengaruhi produktiviti sesebuah organisasi ialah penggunaan teknologi moden dalam bidang pentadbiran. Melalui penggunaan teknologi, sesetengah proses kerja dapat diautomasi atau dimekanisasikan. Kebanyakkan kerja yang dahulunya dibuat oleh manusia kini telah bertukar kepada penggunaan teknolgi seperti mesin. Sebagai contoh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mentransformasikan jabatan ini yang mana mereka mengadaptasikan teknologi komunikasi di jabatan ini. Sebelum ini penggunaan sistem secara manual banyak memberi masalah kepada pengguna apabila melibatkan pertukaran maklumat-maklumat. Melalui sistem pendaftaran Pemandu dan Kenderaan, Sistem Perkhidmatan Perlesenan dan Saman yang telah dilancarkana pada tahun 1997, ianya telah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dari segi mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat. Sistem ini telah menyediakan perkhidmatan seperti saluran penyampaian “multi delivery channel” secara elektronik kepada orang awam.

            Antara lain ialah Jabatan Pertanian yang telah memulakan Sistem Pemetaan Berkomputer sejak tahun 1981 dan telah mempetingkatkannya sesuai dengan perubahan teknologi kini. Pada tahun 1984 Jabatan Pertanian telah mengujudkan Sistem Maklumat Pertanian. Kesemua maklumat gunatanah dan tanah-tanah telah dimasukkan kedalam komputer. Ia telah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam pengeluaran peta kerana dahulunya pengeluaran peta mengambil masa 3 bulan untuk dikeluarkan yang mana kini ianya hanya mengambil masa kurang dari 9 jam sahaja.

            Selain itu, kita boleh melihat teknologi komunikasi juga berkembang melalui “business online”. Perniagaan secara online telah berkembang dengan pesat di serata dunia. Teknologi komunikasi bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti seseorang itu, malahan ia juga dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat dan salah satunya ialah “business online”. Kedai online samalah seperti kedai-kedai yang lain iaitu untuk menjual barangan cuma barangan dijual secara maya di internet. Kini kita dapat melihat wujudnya banyak perniagaan secara online seperti Busana Kedai Online.Biz, Bookcafe.com.my, niaga24.jam, kedai perantu.net, dan cpuetri2u.com adalah contoh perniagaan secara online.

Terdapat 7 cara paling berkesan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja bagi seseorang yang menjalankan perniagaan secara online.
  1. pengguna perlulah diberi gambaran yang jelas tentang kepakaran, perniagaan dan maklumat yang jelas tentang pemilik perniagaan
  2. peniaga perlu mengelakkan dari membina terlalu banyak akaun kerana ianya boleh menjatuhkan kredibilti diri dan perniagaan.
  3. untuk meningkatkan kredibiliti, seseorang peniaga perlulah memasukkan pengenalan diri dan perniagaan yang lengkap untuk meraih kepercayan pengguna.
  4. peniaga perlulah sentiasa menghargai setiap pengguna yang membuat pembelian dengan mereka untuk menunjukkan kredibilti dan kualiti kerja peniaga.
  5. peniaga perlu menyediakan produk yang berkualiti tinggi untuk menunjukkan sikap peniaga yang amat komited dengan peniagaan yang dijalankan dan secara tidak langsung ia dapat menarik minat pengguna untuk terus berurusan dengan peniaga.
  6. peniaga perlu menyediakan khidmat pelanggan yang terbaik untuk membina jaringan yang kuat antara peniaga dan pengguna. Apabila wujudnya jaringan yang kuat ia akan menyebabkan produktiviti seseorang peniaga itu meningkat.
  7. peniaga harus berpegang pada janji dan sedia menolong pengguna yang mempunyai kesulitan dengan barangan yang dibeli.

            Teknologi komunikasi banyak memberi kemudahan dalam hidup kita kerana kita tidak lagi perlu membuang masa, menggunakan tenaga dan modal yang besar hanya untuk berkomunikasi dengan orang lain. Namun begitu, setiap perkara pasti memiliki nilai positif dan negatifnya. Disebalik semua keuntungan yang kita dapat melalui teknologi komunikasi seperti komputer, tentu saja ada impak negatif yang akan kita perolehi daripada penggunaannya. Di dalam sector pekerjaan, computer merupakan salah satu teknologi komunikasi yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Namun begitu, kita tidak sedar bahawa computer boleh menjejaskan kesihatan seseorang pekerja lantas boleh menyebabkan produktiviti dan kualiti kerja menurun. RSI (Repetitive Strain Injury) atau istilah lainnya ialah Repetitive Stress Injury ialah cedera atau kerosakan yang terjadi kepada otot atau saraf anggota badan yang lain apabila sering melakukan sesuatu perkara itu berjam-jam lamanya. Faktor penyebab kepada RSI ialah penggunaan keyboard dan mouse selama berjam-jam.

            Kesimpulannya dapat disimpulkan bahawa penggunaan teknolgi komunikasi dalam sector pekerjaan sememangnya dapat mengembangkan produktiviti dan menyediakan peluang pekerjaan yang meluas serta meningkatkan kualiti kerja di dalam pelbagai sector pekerjaan. Secara dasarnya teknologi komunikasi hanya dilihat dari sudut positif sahaja namun banyak keburukan daripada teknologi komunikasi yang tidak kita sedari dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada seseorang yang banyak terdedah kepada penggunaan computer terutamanya didalam sektor pekerjaan seperti mata berair dan gangguan penglihatan.    

No comments:

Post a Comment